Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan
BADAR SMK SENGGARANG

Thursday, January 13, 2011

Sabar dalam Islam

Assalamualaikum w.b.t.
Alhamdulilah kita masih dapat melihat keindahan Allah pada hari ini dan insyAllah seterusnya. Kebaikan atau ibadah yang kita dilakukan pada hari ini akan lebih bersinar jika kita ikhlas melakukannya. Berbalik kepada tajuk, bahasan-bahasan mengenai sabar sudah sangat banyak diperdengarkan daripada suara-suara yang masih lagi tidak mengenal apa itu sabar dan batasan-batasannya. "Sabar itu separuh daripada Iman" iman mampu menahan sabar jika kita terus beristighfar kepada Allah.




Dan tahukah anda apa keuntungan orang-orang yang sabar?


Mereka akan lebih lama bersama Allah.

ini telah dijanjikan Allah dalam kitabNya:

"Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar"




Apakah manfaat bersabar?

1. Dapat menahan Hawa nafsu

"Dan bersabarlah kamu bersama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya dipagi senja hari dengan mengharap keredaanNya, dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya, dan adalah keadaannya itu melewati batas".

2. Diberikan keringanan atas Ujian

"Sekarang Allah telah meringankan kepadamu dan Dia telah mengetahui padamu bahawa ada kelemahan. Maka jika ada diantaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang, dan jika diantaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar".

3. Dijanjikan syurganya Allah

"Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad diantaramu, dan belum nyata orang-orang yang sabar".

4. Diutamakan Allah

"Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan".



p/s:teman-teman yang pernah mengeluh, segera beristighfar dan selamat menjalani hari kita dengan taqwa dan sabar..


.:BADAR SMKS:.

Friday, December 31, 2010

2011!!!

“Kejayaan yang lalu menjadi penyuluh masa akan datang

Pengorbanan yang besar menjadi kenangan dalam seumur hidup”

Alhamdulillah,telah berlalunya 2010 yang menandakan kita lakukan sekarang pada tahun 2011

Semoga segala ibadah yang kita pada tahun lepas akan diterima oleh Allah

Semoga segala kesalahan pada tahun lepas jugak dapat di hapuskan

“TUTUP BUKU LAMA BUKA BUKU BARU”

Jadi,marilah sama teruskan perjuangan kita yang masih jauh ini

Go,go,go...chaiyok!!!fighting!!!

Thursday, December 23, 2010

TAHNIAH DAN SYABAS

TAHNIAH & SYABAS buat semua warga pendidik, calon-calon PMR dan warga SMKS atas kejayaan memberangsangkan dalam Penilaian Menengah Rendah 2010. Semoga kejayaan menjadi pencetus inspirasi membina kecemerlangan yang lebih unggul pada masa hadapan.
PMR 2010
Peratus Lulus : 76.33%
9A : 7 orang (3KAA)
8A : 4 orang (3SB dan 3TJ)
Pendidikan Islam PMR 2010
Peratus Lulus : 96.4%
Bilangan A: 77 calon
Peratus A: 33%
Bahasa Arab
Peratus Lulus : 100 %
Bilangan A: 14
Peratus A: 39%
Kedudukan dalam Daerah Batu Pahat: Tempat ke 10/25
Syukur ALHAMDULILLAH, Semoga warga SMKS lebih bersemangat mencipta kegemilangan :)

Saturday, December 18, 2010

Apa Kata Sahabat Tentang Lidah

RENUNGAN BERSAMA...
Abdullah bin Mas'ud:
"Wahai lidahku, berkatalah yang baik, nescaya kamu beruntung, atau diam dan dengarlah, nescaya kamu selamat sebelum kamu menyesal."
"Tiada yang layak dipenjara lebih lama daripada lidah"
Al-Ashma'i:
"Dikatakan, Perkataan ialah tawanan diikat seseorang. Apabila dia berbicara, maka dia menjadi tawanan ucapannya"
Umar bin Abd Aziz:
"Orang yang terjaga dan bertaqwa ialah orang yang selalu mendera lidahnya"
Abu Al-Darda':
"Dahulukanlah kedua-dua telingamu daripada mulutmu. Sesungguhnya diciptakan dua telinga dan satu mulut agar engkau lebih banyak mendengar daripada berbicara"
Al-Hasan:
"Orang yang tidak mengerti tentang agama, tidak menjaga lisannya"

Sumber: Isham bin Muhammad Al-Syarif, Al-Jami' Al-Sahih min Ahadith al-Nisa'

Saturday, December 4, 2010

SALAM MAAL HIJRAH 1432H




Salam Maal Hijrah 1432H... :-)
Marilah kita bersama-sama menyambut Maal Hijrah 1432H dengan penuh rasa syukur kepada yang Maha Esa...
Bersama mengimarahkan masjid dan surau berdekatan pada 6 November 2010 bersamaan 29 Zulhijjah 1431H (Isnin) untuk membaca Doa Akhir Tahun dan Doa Awal Tahun. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun lalu,dan tahun mendatang lebih cemerlang dari tahun ini.
Siru 'Ala Barakatillah :)
Salam Tulus Ikhlas:
Majlis Kegiatan Dakwah Islamiah Sekolah::
Panitia Pendidikan Islam::
Badan Dakwah dan Rohani

Friday, November 19, 2010

SALAM PERJUANGAN : CALON SPM DAN STPM 2010




Selamat Menempuh Perjuangan dan Selamat Maju jaya kepada semua calon SPM dan STPM SMK Senggarang tahun 2010, moga kalian mampu memecah tradisi ke arah menjadikan SMK Senggarang lebih gemilang di persada kejayaan...

Siru 'Ala Barakatillah
Salam Tulus Ikhlas:

::Guru Pendidikan Islam::

::Exco Badan Dakwah & Rohani (BADAR)::

SMK SENGGARANG 2010

Saturday, November 13, 2010

Kelebihan dan Amalan Zulhijjah


Antara rahmat Allah swt yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.

Tujuan disediakan musim pesta ibadah ini ialah sebagai peluang dan galakan kepada umat Islam meningkatkan pelaburan ukhrawi mereka.

Kelebihan dan amalan yang digalakkan sepuluh hari pertama Zulhijjah boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Disumpah Di Dalam Al-Quran

Allah SWT banyak menggunakan metodologi bersumpah di dalam al-Quran, dengan bertujuan untuk memberikan penegasan kepada ayat seterusnya, serta memberikan petunjuk terhadap kelebihan perkara yang menjadi sumpahan tersebut. Di dalam surah al-Fajr ayat 1-2, Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."

Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin.

Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan.

Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar

2. Hari Digalakkan Beramal Ibadah

Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :

Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.

3. Awal Zulhijjah Adalah Musim Haji

Awal Zulhijjah ialah musim menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang mampu. Pada waktu inilah hampir 3 juta jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai menyahut panggilan Allah di tempat yang suatu masa dahulunya merupakan bumi kering-kontang. Ibadah haji juga merupakan satu-satunya rukun Islam yang dijadikan nama surah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."

4. Digalakkan Menunaikan Ibadah Kurban

Di dalam surah al-Hajj ayat 28 di atas, Allah turut menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah qurban. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu.

Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.

Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah qurban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."


Kesimpulan

1. Marilah kita bersama-sama menyediakan persiapan perasaan untuk menyambut ketibaan Zulhijjah dengan penuh rasa rindu dan bersyukur. Malam ini, telah masuk bulan Zulhijjah, maka rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah kepada kita sepanjang 10 hari pertamanya.

2. Bagi yang masih belum mampu pergi haji, jadikanlah ketibaan Zulhijjah sebagai penanam azam dan tekad kita mengejar kemampuan melunaskan rukun Islam kelima tersebut.

3. Bagi muslim yang tidak pergi haji pada musim ini, wujudkanlah rasa kebersamaan dengan rakan-rakan jemaah haji.