Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan

Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan
BADAR SMK SENGGARANG

Friday, November 19, 2010

SALAM PERJUANGAN : CALON SPM DAN STPM 2010




Selamat Menempuh Perjuangan dan Selamat Maju jaya kepada semua calon SPM dan STPM SMK Senggarang tahun 2010, moga kalian mampu memecah tradisi ke arah menjadikan SMK Senggarang lebih gemilang di persada kejayaan...

Siru 'Ala Barakatillah
Salam Tulus Ikhlas:

::Guru Pendidikan Islam::

::Exco Badan Dakwah & Rohani (BADAR)::

SMK SENGGARANG 2010

Saturday, November 13, 2010

Kelebihan dan Amalan Zulhijjah


Antara rahmat Allah swt yang besar kepada kita ialah disediakan beberapa pesta ibadat sepanjang tahun. Kerana itulah kita mendengar kelebihan hari Jumaat sebagai hari terbaik di dalam seminggu, bulan Ramadhan itu adalah bulan terbaik di dalam setahun, malam lailatul qadar itu adalah malam yang terbaik berbanding malam-malam yang lain dan Allah turut memberikan sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah sebagai hari terbaik di dalam setahun.

Tujuan disediakan musim pesta ibadah ini ialah sebagai peluang dan galakan kepada umat Islam meningkatkan pelaburan ukhrawi mereka.

Kelebihan dan amalan yang digalakkan sepuluh hari pertama Zulhijjah boleh diringkaskan seperti berikut:

1. Disumpah Di Dalam Al-Quran

Allah SWT banyak menggunakan metodologi bersumpah di dalam al-Quran, dengan bertujuan untuk memberikan penegasan kepada ayat seterusnya, serta memberikan petunjuk terhadap kelebihan perkara yang menjadi sumpahan tersebut. Di dalam surah al-Fajr ayat 1-2, Allah telah berfirman yang bermaksud :

"Demi waktu fajar, dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)."

Di dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir telah mendatangkan banyak riwayat mengenai pandangan ulamak terhadap yang dimaksudkan dengan sepuluh malam di dalam surah al-Fajr di atas. Ada yang menyatakan ianya bermaksud sepuluh hari pertama bulan Muharram. Sebahagian menyatakan sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, dan ini disokong oleh Syeikh Ibn Uthaimin.

Akan tetapi pandangan jumhur ialah sepuluh hari berkenaan berlaku pada awal Zulhijjah. Dengan sebab itulah hari-hari tersebut dianggap sebagai hari yang mulia dan penuh dengan kelebihan.

Menurut Ibn al-Qayyim di dalam Zad al-Ma'ad, siang sepuluh hari pertama Zulhijjah adalah lebih afdhal daripada sepuluh hari terakhir Ramadhan, sementara sepuluh malam terakhir Ramadhan pula adalah lebih baik daripada sepuluh malam pertama Zulhijjah kerana berlakunya lailatul qadar

2. Hari Digalakkan Beramal Ibadah

Bersabda nabi Muhammad SAW yang bermasud :

Dan tiadalah hari yang beramal soleh padanya paling dicintai Allah melainkan sepuluh hari pertama Zulhijjah ini. Sahabat bertanya, "Bukankah jihad fi sabililllah?" Jawab baginda, "Ya termasuklah jihad fi sablillah, kecuali mereka yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawanya kembali walau sedikit". (Riwayat Al-Bukhari)

Berdasarkan hadith ini, para ulamak menggalakkan umat Islam meningkatkan semua jenis amal ibadah seperti puasa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya pada sepuluh hari yang mulia ini.

3. Awal Zulhijjah Adalah Musim Haji

Awal Zulhijjah ialah musim menunaikan ibadah haji bagi umat Islam yang mampu. Pada waktu inilah hampir 3 juta jemaah haji akan berhimpun beramai-ramai menyahut panggilan Allah di tempat yang suatu masa dahulunya merupakan bumi kering-kontang. Ibadah haji juga merupakan satu-satunya rukun Islam yang dijadikan nama surah di dalam al-Quran. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hajj ayat 27 yang bermaksud:

"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."

4. Digalakkan Menunaikan Ibadah Kurban

Di dalam surah al-Hajj ayat 28 di atas, Allah turut menggalakkan umat Islam yang mampu untuk menunaikan ibadah qurban. Mengikut jumhur, hukumnya adalah sunat muakkadah bagi yang mampu.

Sementara Imam Abu Hanifah pula menyatakan hukumnya adalah wajib.

Apa yang pasti, tujuan utama menunaikan ibadah qurban bukannya semata-mata untuk mempersembahkan darah atau daging haiwan sembelihan tersebut kepada Allah, akan tetapi untuk umat Islam mengejar ketaqwaan di sisi-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 37:

"Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya."


Kesimpulan

1. Marilah kita bersama-sama menyediakan persiapan perasaan untuk menyambut ketibaan Zulhijjah dengan penuh rasa rindu dan bersyukur. Malam ini, telah masuk bulan Zulhijjah, maka rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah kepada kita sepanjang 10 hari pertamanya.

2. Bagi yang masih belum mampu pergi haji, jadikanlah ketibaan Zulhijjah sebagai penanam azam dan tekad kita mengejar kemampuan melunaskan rukun Islam kelima tersebut.

3. Bagi muslim yang tidak pergi haji pada musim ini, wujudkanlah rasa kebersamaan dengan rakan-rakan jemaah haji.

Thursday, October 21, 2010

Petua Menjadi Pelajar Cemerlang Menurut Al-Quran


Tips Pelajar Cemerlang berdasarkan Surah Al-Mukminun

1. Keyakinan, Kepercayaan dan Keimanan kepada Allah s.w.t.
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman"
Surah Al-Mukminun : 1
Iman merupakan faktor utama kejayaan. Yakin dan percaya bahawa setiap apa yang berlaku merupakan qada' dan qadar dari Allah. Sebagai hamba, kita hendaklah berusaha sebaik mungkin tanpa mengenepikan doa dan tawakkal untuk menjadi pelajar yang cemerlang.
2. Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya"
Surah Al-Mukminun : 2
Kita hendaklah melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dan elakkan perasaan sambil lewa. Fokus terhadap ssuatu tugas atau tanggungjawab menjadi pemangkin kejayaan

3. Prioriti: Mengutamakan yang lebih utama
"Dan orang-orang yang menjauhkan diri daripada lagha
(perbuatan dan perkataan yang tidak berguna)
Surah Al-Mukminun : 3

Elakkan dari mengisi masa terutama pada saat-saat genting dengan melayari internet tanpa faedah, mendengar dan menonton hiburan yang membuang masa, melepak. Optimumkan penggunaan masa sedia ada dengan mengerjakan amalan-amalan sunat dan sentiasa berwuduk sewaktu mengulangkaji pelajaran

4. Prihatin sesama kita
" Dan orang-orang-orang menunaikan zakat"
Surah Al-Mukminun : 4
Janganlah kita bersikap individualistik atau mementingkan diri sendiri. Setiap orang mempunyai bakat dan kelebihan. Jangan kedekut untuk berkongsi dengan rakan yang lain jika anda ada kekuatan tersebut.

5. Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan
" Dan orang-orang yang menjaga kehormatannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tidak tercela. Sesiapa yang mencari di balik itu, maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas"
Surah Al-Mukminun : 5 - 7
Jangan jadikan alasan belajar sebagai cara untuk 'study group' berdua-duaan, jalan bersama-sama, balik dari sekolah berpegangan tangan bersama, sms yang tidak henti mengalahkan berzikir mengingati Allah, bergayut, chatting dan sebagainya. Sentiasa beringat bahawa berdua-duaan antara lelaki dan perempan boleh membawa kepada muqaddimah zina selain melemahkan daya ingatan kerana terlalu leka dengan perbuatan maksiat.
6. Jujur, amanah
"Dan orang-orang yang memelihara amanah dan janjinya"
Surah Al-Mukminun : 8
Elakkan menipu sama ada dengan meniru kerja yang diberikan oleh guru atau ketika peperiksaan. Perbuatan ini menyebabkan ilmu tidak berkat sekaligus mengakibatkan kita akan menyesal di kemudian hari.

7. Tepati waktu
"Dan orang-orang yang memelihara solatnya"
Surah Al-Mukminun : 9
Konsep menepati waktu atau berdisiplin yang ditekankan dalam solat fardu 5 waktu sehari semalam. sebagai pelajar, kita hendaklah berdisiplin dan mematuhi masa sama ada dalam menuntut ilmu, mengulangkaji mahupun menghadiri aktiviti kokurikulum sekalipun.

Semoga kalian mampu membuktikan kejayaan yang cemerlang hasil usaha dan titik peluh yang tidak pernah kenal erti jemu. Jangan sesekali kita lupa untuk berserah kepada ALLAH s.w.t.. Bittaufiq wannajah :)

Monday, October 18, 2010

SALAM PERJUANGAN




Assalamualaikum Wrt. Wbt.
Buat semua warga SMK Senggarang,
Selamat menduduki peperiksaan akhir tahun buat semua pelajar
tingkatan 1, 2 dan 4.
Buktikan diri kalian yang terbaik.
Moga kejayaan yang dicipta dalam peperiksaan ini mampu memberikan sinar kegembiraan buat diri, ibu bapa, keluarga dan guru-guru.
Ingat pada madah:
KECEMERLANGAN TERCIPTA APABILA...
SEORANG PELAJAR BIASA...
BERASAL DARIPADA SEBUAH KELUARGA BIASA...
MENDAPAT PENDIDIKAN DI SEBUAH SEKOLAH BIASA...
TETAPI...
BERUSAHA SECARA LUAR BIASA...
Think about it...
Bittaufiq wannajah fil imtihan... Allahu Yusahhil 'Alaik... :D
Good luck in your examination.. All the best.. :)
Salam perjuangan... moga kita mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat :-)

Sunday, October 3, 2010

Tips Menghadapi Peperiksaan

Selamat menduduki peperiksaan kepada calon-calon PMR,SPM dan STPM yang akan berlangsung tidak lama lagi.Tidak lupa juga kepada pelajar-pelajar kerana anda semua akan menduduki peperiksaan akhir tahun.Disini kami akan berkongsi sedikit tip-tip kepada anda bagaimana hendak menghadapi peperiksaan.


Persedian Fizikal
-Tidur yang mencukupi

Tidur yang cukup ialah diantara 6 – 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan.Kurangkan untuk bermuka buku(FB) dan bergayut di telefon bimbit pada waktu malam .Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

-Jaga pemakanan

Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya:

“Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan” (Al-Baqarah : 57).

sebagai yang baik disini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

-Beriadah

Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh.Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji pelajaran.

Persedian Mental

-Yakin dan gembira untuk menghadapi peperiksaan

-Jauhi fikiran negatif tentang peperiksaan; contohnya mengelakkan jangkaan dan bayangan bahawa soalan peperiksaan yang bakal dihadapi susah atau seumpamanya.

Persedian Emosi

-Elakkan berlakunya konflik samada dengan rakan atau sesiapa saja.

-Jauhi sikap terlalu yakin(overconfident)

-Kurangkan komunikasi dan aktiviti sosial

-Minta maaf kepada ibu bapa,guru-guru dan rakan-rakan.Sentiasa memaafkan orang lain.

Persedian Rohani

-Sentiasa bermunajat kepada Allah

Solat hajat, sentiasa mendahuluinya dengan solat taubat. Dilakukan oleh pelajar sendiri, dengan ini mereka lebih berusaha dengan pengharapan yang lebih kepada Allah s.w.t.

-Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran

Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-quran. Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra’ad, ayat 36,

“Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati”.

-Jauhi maksiat

Jauhi diri anda dari perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.


"Orang lain boleh berjaya,kita pun boleh berjaya"

Walaupun PMR tidak sepenting SPM, sekurang-kurangnya keputusan peperiksaan PMR dapat membuka peluang yang lebih luas untuk pemilihan bidang dengan lebih tepat berdasarkan potensi dan minat pelajar demi kejayaan masa depan yang lebih cemerlang.

Saturday, October 2, 2010

HUKUM SOLAT JUMAAT

Dari Ibnu Mas'ud,katanya Rasulullah s.a.w. berkata kepada satu kaum yang tidak menghadiri solat jumaat:

Maksudnya:

"sesungguhnya aku berkeinginan untuk menyuruh seseorang solat dengan para
jemaah,kemudian aku pergi membakar rumah-rumah orang yang tidak mahu menghadiri solat jumaat"

(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Dari Abu Hurairah dan Ibnu Umar,mereka telah mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika menyampaikan khutbah di tas mimbar:
Maksudnya:

"hendaklah orang itu berhenti daripada meninggalkan solat jumaat atau biarlah Allah yang mencap atas hati mereka,kemudian biarlah mereka menjadi orang yang lalai"

(Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Abul Ja'di Al-Daramiy menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya:

"sesiapa yang meninggalkan solat jumaat tiga kali jumaat(berturut-turut),kerana memudah-mudahkan(menganggap enteng kewajipannya)maka Allah mencap(munafik)ke atas hatinya"

(Hadis riwayat Ahmad)